KURANG SEMINGGU DISAHKAN POSITIF COVID-19, TRUMP KEMBALI BERTUGAS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kembali bertugas selepas enam hari beliau disahkan positif COVID-19.
Menurut laporan AFP, kehadiran presiden itu di Oval Office, White House memungkinkan risiko jangkitan virus itu lebih besar ke atas kakitangannya.
Seorang pegawai pentadbiran memberitahu, Trump hadir semalam dengan bilangan kakitangan yang amat terhad di pejabatnya.
Tindakan terbaharu Trump itu dijangka mengundang kritikan keras terhadap caranya mengendalikan jangkitan COVID-19 yang dialaminya.
Trump juga ibarat tidak mengendahkan ancaman COVID-19, dengan tidak memakai pelitup muka malah dilapor memperlekehkannya.
Doktor yang merawatnya turut melaporkan bahawa Trump telah bebas dari gejala COVID-19 selama 24 jam dan tidak demam selama empat hari.
“Pagi ini (semalam) Presiden menyatakan ‘saya berasa sihat’,” kata Dr Sean Conley.
–AlHijrah Online.