KERANA SAMPAH DUA JIRAN DIHADAPKAN KE MAHKAMAH

IPOH: Gara-gara bergaduh kerana sampah, seorang lelaki dan wanita yang berjiran dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan mencederakan antara satu sama lain hujung bulan lalu.

Majistret Nabihah Mohd. Noor bagaimanapun melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh selepas membenarkan permohonan peguam bela untuk menyelesaikan kes mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Fong Kok Sing, 40 dan Chen Ching Wei, 43 secara sengaja mendatangkan kecederaan antara satu sama lain di Laluan Chemor Maju 16, Taman Chemor Idaman pada pukul 12 tengah hari, 30 September lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara yang boleh sampai setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Perselisihan faham antara kedua-dua tertuduh dikatakan berpunca daripada masalah pembuangan sampah di kediaman mereka.

Sebaik prosiding selesai, kedua-duanya dilihat saling bermaafan dan bersalaman di luar mahkamah. — AlHijrah Online / Hamimad Hamid.

Leave a Reply