Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

LEBIH 1,500 PESERTA BAKAL HADIR MAJLIS SAMA’ HADIS SAHIH BUKHARI ANTARABANGSA 2024 BERMULA AHAD INI

DALAM NEGARA

LEBIH 1,500 PESERTA BAKAL HADIR MAJLIS SAMA’ HADIS SAHIH BUKHARI ANTARABANGSA 2024 BERMULA AHAD INI

Sepanjang 11 hari majlis berlangsung, peserta akan mendalami ilmu-ilmu hadis Rasulullah SAW yang terkandung dalam Sahih Bukhari, yang mencakupi seluruh aspek kehidupan, termasuk ibadat, muamalat, pentadbiran dan sebagainya.

PUTRAJAYA: Lebih 1,500 peserta telah mengesahkan kehadiran bagi mengikuti Majlis Sama’ Hadis Sahih Bukhari peringkat Antarabangsa di Masjid Putra, Putrajaya yang akan bermula 10 November ini.

Majlis yang lazimnya diadakan secara besar-besaran di negara-negara Asia Barat seperti Maghribi, Mesir dan Turkiye itu bakal berlangsung sehingga 21 November depan.

Program itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Majlis Khatam Sahih Bukhari pada malam terakhir majlis tersebut.

Menurut Pengerusi Majlis Sama’ Hadis Sahih Bukhari Antarabangsa 2024, Dr. Bashir Mohamed Al-Azhari, sepanjang 11 hari majlis berlangsung, peserta akan mendalami ilmu-ilmu hadis Rasulullah SAW yang terkandung dalam Sahih Bukhari, yang mencakupi seluruh aspek kehidupan, termasuk ibadat, muamalat, pentadbiran dan sebagainya.

“Sahih Bukhari adalah kitab yang tidak dipertikai oleh mana-mana kumpulan dan mana-mana aliran.”

Jelas Dr. Bashir, antara tokoh ulama yang akan hadir adalah; Sheikh Abu Bakar Ahmed Al-Malibari dari India, Sheikh Muhammad Abul Huda Al-Ya’qubi dari Syria, Al Habib Umar Al-Jailani dari Makkah, Arab Saudi, dan Prof. Dr. Sheikh Yusri Rushdi Sayyid Jabr Al- Hasani dari Mesir.

“Ia acara yang sangat berprestij kerana menghimpunkan ulama-ulama hadis yang akan berkongsi panduan daripada Nabi Muhammad SAW supaya menjadi inspirasi khusus kepada ilmuan dan orang ramai.”

Turut mengesahkan kehadiran, Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki serta Sheikh Ahmad Marwazie dari Indonesia dan Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid serta Sheikh Wan Muhammad Izzuddin dari Malaysia.

Menurut Dr. Bashir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah turut akan menghadiri program ini.

Majlis periwayatan hadis secara Sama’ (bacaan yang diperdengarkan oleh pembaca kepada pendengar) adalah tradisi mahsyur dalam kalangan penuntut ilmu agama.

Manakala Sahih Bukhari adalah kitab hadis paling berautoriti dalam agama Islam dan ilmuan Islam mengakui kesahihan hadis-hadis dalam kitab itu malah mengiktirafnya sebagai yang paling sahih selepas kitab suci Al-Quran.

Program itu dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan At-Taibah, Pertubuhan ISLAMI, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Saluran TV Islam negara, TV Alhijrah turut bekerjasama dalam usaha menghebah dan mempromosikan majlis berkenaan.

Orang ramai dijemput hadir dan pendaftaran percuma turut boleh dibuat secara walk-in bermula 10 November 2024 di Masjid Putra. —AlHijrah Online

Pendaftaran boleh dibuat di laman web berikut; https://event.majlisbukharimalaysia.com/registration

Lihat juga: Aturcara penuh majlis


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading