KUALA LUMPUR: Program Wilayah Persekutuan Berselawat Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerima kehadiran lebih 4,000 umat Islam.
Program malam semalam yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Timbalannya Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa serta Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.
Dalam ucapannya, Mohd Na’im berkata Wilayah Persekutuan Berselawat ini bukan sahaja diadakan di Kuala Lumpur, namun penganjurannya di seluruh Wilayah Persekutuan dalam usaha menjadikan masjid sebagai institusi terpenting bagi melahirkan gelombang perpaduan dan penyatuan umat Islam.
“Kehadiran sehingga mencecah sekitar 4,000 orang pada hari ini boleh dijadikan sebagai satu penanda aras untuk Wilayah Persekutuan memperluaskan kempen Subuh macam Jumaat, bahkan tiap waktu solat kita boleh jadikan kehadirannya seperti solat Jumaat dan menjadi contoh buat negeri-negeri yang lain.
“Program ini juga sangat signifikan dalam konteks semasa yang memerlukan doa dan munajat rakyat Malaysia agar negara terus diberikan kesejahteraan dan keselamatan sepanjang masa selaras dengan dasar Malaysia MADANI yang telah dilancarkan oleh perdana menteri dalam memelihara perpaduan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam,” katanya.
Turut hadir pada program Wilayah Persekutuan Berselawat ialah Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Mohd Nizam Yahya.
Dalam program semalam sesi tausiyah disampaikan oleh tokoh pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid serta turut diadakan Doa Untuk Malaysia serta bacaan selawat dan qasidah yang menampilkan kumpulan nasyid Inteam dan Almawlid.
Wilayah Persekutuan Berselawat semalam dilaksanakan secara serentak di Masjid Jamek An-Nur, Labuan dan Masjid Mahmoodiah, Putrajaya sebagai usaha berterusan untuk menyemarakkan aktiviti pengimarahan masjid dan surau dengan pelbagai program yang menyatupadukan masyarakat.
“Saya lihat objektif program telah tercapai antaranya ialah menjalinkan silaturrahim antara masyarakat dan penduduk sekitar Wilayah Persekutuan dan anak-anak kariah bersama kepimpinan tertinggi negara dan ketua-ketua Jabatan dan agensi peringkat persekutuan dan negeri khususnya JAWI dan MAIWP.
“Kita akan terus menyeru masyarakat untuk hadir ke masjid bersama bagi bermunajat dan berdoa kepada Allah supaya diturunkan rahmat dan kesejahteraan kepada negara Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya rentetan daripada pelbagai musibah yang melanda negara-negara umat Islam seperti di Palestin yang masih tidak sunyi dengan peperangan dan penindasan yang berlaku,” kata Mohd Na’im.
Sempena sambutan Jubli Emas JAWI pada 1 Februari 2024, JAWI memilih slogan “Membangun Khaira Ummah” sebagai tema sambutan yang bermaksud matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah.
Jabatan itu berazam untuk memperluas fungsi dan peranan selaras dengan kemaslahatan dan dinamika masyarakat iaitu kemampuan beradaptasi dengan perubahan.
Perkara utama yang akan diberikan perhatian ialah proses pengukuhan syariah dan akhlak serta pemantapan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. – AlHijrah Online