LEBIH RM426 JUTA WANG ZAKAT DIAGIHKAN KETIKA PKP

KUALA LUMPUR: Nasib golongan kurang berkemampuan termasuk pihak yang terjejas pendapatan, pelajar dan petugas barisan hadapan terus dibela ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan setakat 30 Jun 2020, RM426,930,452.75 juta telah diagihkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) kepada mereka yang layak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata daripada jumlah itu RM45,653,237.00 telah diagihkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bermula hari pertama PKP berkuatkuasa iaitu pada 18 Mac 2020 sehingga 27 Julai 2020 kepada kumpulan sasar yang dikenalpasti merangkumi golongan asnaf, golongan terjejas, barisan petugas hadapan, pelajar, NGO dan gelandangan.

“Antara bentuk bantuan yang diberikan adalah Bantuan Zakat Khas tambahan sebanyak RM500 kepada 24,196 asnaf berjumlah keseluruhan RM12.098 juta.

“Selain itu, MAIWP juga telah mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan bulanan pada bulan pertama PKP diumumkan,” katanya di Parlimen hari ini.

Tambahnya bagi mereka yang terjejas pendapatan akibat PKP, MAIWP turut menyediakan Bantuan Zakat Kecemasan COVID-19 dengan seramai 17,500 orang telah menerima manfaat dari skim bantuan ini yang berjumlah keseluruhan RM8.65 juta.

“MAIWP turut mengagihkan bantuan makanan harian kepada barisan petugas hadapan, menyalurkan bantuan kewangan bagi peralatan perubatan kepada tujuh buah hospital dan bantuan peralatan PPE kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, dan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr. Hasan Bahrom yang bertanyakan berhubung sumbangan zakat kepada golongan memerlukan ketika PKP. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply