LELAKI CEDERAKAN PENIAGA SELEPAS KERETA BERGESEL DI LEBUH RAYA DITAHAN

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mencederakan seorang peniaga selepas kereta mereka bergesel di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Air Hitam di sini semalam, setelah rakaman video insiden itu tular di media sosial sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Rupiah Abd Wahid berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di tepi Jalan Putih, di sini pada pukul 4.50 petang bagi membantu siasatan.

“Sabtu lepas tular video berdurasi sembilan saat memaparkan seorang individu dipukul di tengah lebuh raya, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.10 petang Jumaat lepas, ketika seorang lelaki berumur 57 tahun memandu kereta Mercedes-Benz yang dalam perjalanan dari Muar menghala ke Bukit Indah, apabila sebuah kereta Proton Saga di lorong mengubah laluan dan kedua-dua kenderaan itu bergesel.

Katanya sejurus kejadian, berlaku pertengkaran mulut dan pergaduhan yang mengakibatkan pemandu Mercedes itu dipukul dengan satu objek tumpul sehingga menyebabkan dia cedera di bahagian kepala dan lebam di tangan kiri.

Rupiah berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Peraturan 6 (1) Kaedah-kaedah lalulintas 1959.–AlHijrah Online

Leave a Reply