WIFI PERCUMA DI MASJID, SURAU DAN SEKOLAH AGAMA JOHOR MULAI TAHUN DEPAN

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan menyediakan kemudahan Wi-fi percuma di masjid dan surau serta sekolah agama di negeri itu secara berperingkat bermula tahun depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata buat permulaan, pemasangan melibatkan 120 masjid dan surau serta 130 sekolah agama.  

“Pemasangan kemudahan Wi-fi juga bergantung kepada lokasi kerana tidak semua masjid dan surau mempunyai liputan jalur lebar,” katanya pada sidang media selepas Sesi Libat Urus di Masjid Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata lebih RM3 juta Dana Pesakit Jantung Warga Johor telah disalurkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sejak 2017 sehingga Ogos lepas, bagi meringankan beban rakyat negeri itu mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut beliau kos rawatan yang ditanggung termasuk pembedahan, peralatan seperti perentak jantung, rawatan susulan dan pendaftaran rawatan.

“Pada tahun lepas sebanyak RM429,400 dibelanjakan membabitkan 128 pesakit dan tahun ini sehingga Ogos pula, 93 pesakit melibatkan RM309,629. Bangsa Johor yang memerlukan rawatan boleh membuat permohonan menerusi MAINJ atau Bahagian Pengurusan Kewangan Pesakit IJN,” katanya.

Beliau berkata syarat permohonan terbuka kepada rakyat Johor yang memerlukan seperti asnaf dan golongan berpendapatan rendah serta mereka yang layak serta menepati kriteria.

Mengenai Belanjawan Johor 2023, Mohd Fared berkata pembangunan pendidikan, masjid dan surau merupakan antara keutamaan dan memerlukan peruntukan yang lebih pada tahun depan.

“Ini kerana, di sinilah klien kita paling besar termasuk guru-guru agama dan anak-anak murid Johor yang ramai, jadi kita perlu meraikan mereka,” katanya sambil menambah pemerkasaan Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman dan Jabatan Pendakwaan turut menjadi fokus.–AlHijrah Online

Leave a Reply