LELAKI KELAR SUAMI KEKASIH, TAKUT HUBUNGAN SULIT TERBONGKAR

SUBANG JAYA: Seorang lelaki warga India bertindak membunuh dan menanam mayat suami kepada teman wanitanya kerana bimbang hubungan sulit terbongkar.

Kejadian dipercayai berlaku di belakang sebuah rumah banglo yang dijadikan pusat penjagaan warga emas di Subang Jaya, pada Mei 2022.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah menahan dan menyoal siasat suspek berusia 30 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas menerima laporan dari rakan mangsa pada 2 Februari lalu.

Katanya, lelaki tersebut mengaku telah membunuh mangsa berusia 25 tahun dengan mengelar lehernya menggunakan pisau sehingga mati sebelum menanamnya di lokasi kejadian.

Suspek juga telah dibawa polis ke lokasi kejadian untuk menunjukkan tempat mangsa ditanam.

“Polis dari IPD Subang Jaya bersama pasukan forensik telah menemui sebuah bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut tubuh mangsa.

“Isteri mangsa dan kekasihnya yang juga warga India serta dua wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 35 tahun yang bekerja di pusat jagaan orang tua berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, semakan mendapati kedua-dua suspek warga India tidak mempunyai pasport dan kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah.

Motif pembunuhan dipercayai disebabkan hubungan sulit antara suspek dengan isteri mangsa.

“Suruhanjaya Tinggi India ada membuat laporan polis mangsa hilang pada Mei 2022 selepas menerima aduan daripada ahli keluarganya di India yang memaklumkan lelaki itu tidak dapat dihubungi,” katanya.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabit dengan kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply