LELAKI KURANG SIUMAN PUKUL IMAM POSITIF DADAH

KUANTAN: Lelaki kurang siuman yang tular videonya memukul imam di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 didapati positif dadah.

ARTIKEL BERKAITAN – LELAKI KURANG SIUMAN SERANG IMAM

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesalahan itu dikesan hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu.

“Suspek adalah seorang bekas tentera dan mempunyai rekod jenayah, selain mengalami masalah mental.

“Suspek kini telah ditahan atas kesalahan penggunaan dadah dan kesalahan kacau ganggu di bawah Seksyen 296 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

Beliau menjelaskan kesan daripada pengambilan dadah, suspek dipercayai telah berhalusinasi dan mendengar imam yang memimpin solat subuh ketika itu memanggil namanya hingga menjurus suspek untuk bertindak menyerang mangsa.

“Suspek juga merupakan gelandangan yang menjadikan masjid dan Mahkota Square sebagai tempat tidur dan merayau.

“Kini, suspek telah dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan psikatri,” ujar beliau.

Ahad lalu, tular rakaman video menunjukkan seorang lelaki kurang siuman telah memukul imam di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada solat waktu Subuh.

Pihak Masjid Sultah Ahmad Shah 1 bagaimanapun dalam pengumuman mereka meminta agar orang ramai menghentikan penularan video terbabit dan tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana pihak yang akan berhadapan dengan tindakan undang-undang disebabkan penyebaran video tersebut.–AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply