MUAR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas lalu terbalik ke dalam parit di Jalan Parit Limbong Darat, Parit Jawa, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku melibatkan mangsa, Mohd Hafis Mohamad Ali, 32, dalam perjalanan dari Sri Tanjong menuju Parit Jawa.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam parit.
“Orang awam menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat lemas.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.—AlHijrah Online