MADRASAH IDRISIAH ABSAH PERANAN RAJA MELAYU KEMBANG AGAMA ISLAM – SULTAN PERAK

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (duduk, tengah) berkenan bergambar bersama tenaga pengajar Madrasah Idrisiah pada majlis Sambutan 100 tahun Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan hari ini. –fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Sekolah Menengah Agama Madrasah Idrisiah mengabsahkan peranan Raja Melayu dalam melindungi, memelihara, membangunkan dan mengembangkan agama Islam, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin bertitah Madrasah Idrisiah menunjukkan impian dan wawasan boleh direalisasikan jika ada kesungguhan azam, komitmen, pengorbanan dan semangat dermawan. 

“Madrasah Idrisiah mencipta kejayaan kerana adanya sokongan dan keyakinan. Madrasah Idrisiah melambangkan pentingnya rangkaian ilmu dan ibadah.

“Pentingnya rumah ibadah tidak hanya tegak sebagai bangunan ikonik yang sepi dalam isolasi di sebaliknya hendaklah dilengkapi dengan institusi keilmuan membangunkan modal insan, modal intelek dan modal budaya,” titah baginda sempena Sambutan 100 tahun Madrasah Idrisiah di sini hari ini.

Dalam titah itu juga, Tuanku menarik perhatian bahawa Madrasah Idrisiah mengisahkan hasil tuaian daripada rangkaian semangat bekerjasama antara istana, ulama, umara dan rakyat setempat hingga berjaya membolehkan tanah sekepal dijadikan gunung, air setitik dijadikan laut, idea di minda menjadi realiti. 

Titah Sultan Nazrin, Madrasah Idrisiah menjadi dalil akan peranan penting dana wakaf yang sewajibnya digerakkan dengan lebih aktif oleh ummah pada hari ini. 

“Madrasah Idrisiah merupakan bukti usaha yang dilimpahi rahmat keberkatan Ilahi hingga berjaya mencapai usia 100 tahun dan semoga terus bernafas untuk ratusan tahun lagi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah Madrasah Idrisiah dibangunkan berasaskan konsep wakaf merupakan institusi pendidikan Islam Diraja yang pertama di Perak telah memberi dimensi baharu kepada sekolah pondok. 

Baginda bertitah lokasi madrasah yang terletak dalam kawasan istana melambangkan madrasah ini dinaungi secara langsung oleh Paduka Seri Sultan dan didukung bersama oleh para pembesar istana dan ulama. 

Dalam titah itu juga, Sultan Nazrin memaklumkan  madrasah yang terletak berhadapan Masjid Ubudiah, berperanan sebagai pelengkap yang merangkaikan peranan masjid dengan program pembangunan insan dan perkembangan ilmu.  

“Muhammad Salleh diamanahkan tanggungjawab sebagai mudir pertama. Pelajar sulung madrasah terdiri daripada 23 orang anak yatim telah memulakan pengajian pada bulan Ogos 1922. 

“Madrasah Idrisiah yang telah melangkau usia 100 tahun, merupakan khazanah ummah, berstatus antara institusi agama tertua di negeri ini berperanan sebagai tapak semaian pembangunan minda yang berjaya melahirkan ribuan ulama dan umara,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengumumkan sumbangan RM500,000 dari Yayasan Sultan Azlan Shah untuk Madrasah Idrisiah.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan merasmikan Pemuliharaan Bangunan Induk serta Asrama Puteri Madrasah Idrisiah yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad. –AlHijrah Online

Leave a Reply