MAIS AGIH 1,000 BUBUR LAMBUK UNTUK ANAK YATIM, RUMAH PEMULIHAN RIQAB

Last Updated on

PAYA JARAS: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini mengagihkan 1,000 pek iftar bubur lambuk kepada sembilan rumah anak yatim dan 13 rumah pemulihan al-riqab di sekitar Selangor.

Majlis sumbangan itu membabitkan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Bhd dan ADAB Youth Garrage (AYG) yang turut tampil membantu dan menyerahkan sumbangan kepada penerima.

MAIS dalam kenyataannya hari ini berkata majlis agama itu turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM4,400 daripada Tabung Prihatin Covid-19 MAIS.

Manakala, QSR Brands (M) Holdings Bhd turut menginfaqkan 44 kotak ayam mentah kepada penerima bantuan itu.

“Program ini bertujuan membantu meringankan beban dan menambahkan keceriaan anak-anak yatim dan asnaf riqab dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan serta sebagai persiapan menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi,” kata MAIS.

Sumbangan disampaikan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Hadir sama Pengerusi Majlis Penasihat Syariah QSR Brands (M) Holdings Bhd, Datuk Mustafha Abdul Razak.

Antara rumah anak yatim menerima sumbangan Rumah Kasih Harmoni, Rumah Nor Barakah dan Rumah Anak Yatim Al-Faiz.

Turut menerima sumbangan adalah Rumah Astana Budi, Rumah Penawar, Rumah Puteri Arafiah, Rumah Darul Wardah, Rumah Saffiyah, Rumah Darul Ukhwah, Rumah Astana Budi, Rumah Raudhatus Sakinah dan PERKID Hulu Langat. — AlHijrah Online

Leave a Reply