MAIWP PERJELAS KELAYAKAN ANAK DR. ZULKIFLI TERIMA BANTUAN ASNAF FISABILILLAH

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini tampil menjelaskan isu tular berkenaan anak bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang mendapat Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Luar Negara (Jordan) MAIWP.

MAIWP dalam kenyataannya berkata, pemberian bantuan tersebut kepada pemohon, Abdul Syakur Zulkifli, berdasarkan hasil Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Penerima Skim Biasiswa MAIWP pada 11 September 2023 (Isnin).

Katanya hasil semakan mendapati pemohon dikategorikan dalam asnaf Fisabilillah dengan lebihan had kifayah dan bapa pelajar hanya menerima pencen dan telah melepaskan semua jawatan beliau termasuk juga sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ia menepati syarat lebihan had kifayah yang ditetapkan bagi asnaf Fisabilillah.

“Takrifan asnaf Fisabilillah yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-128 pada 4 Mac 2021 iaitu mana-mana golongan atau pihak yang terlibat dalam sesuatu aktiviti untuk menegakkan, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam.

“Untuk makluman, pada asasnya asnaf Fisabilillah adalah tidak tertakluk kepada pengiraan had kifayah. Justeru, penentuan kelayakan bagi skim bantuan ini adalah berdasarkan lebihan had kifayah yang akan dipertimbangkan melalui Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Skim Biasiswa Baitulmal MAIWP,” katanya hari ini.

Tambahnya, berdasarkan dasar dan prosedur operasi standard (SOP) bantuan MAIWP, Abdul Syakur yang juga alumni dan bekas penuntut di Pondok Modern Al-Abaqirah MAIWP, layak menerima Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Luar Negara MAIWP.

“Dasar Skim Bantuan Zakat yang diguna pakai sehingga hari ini adalah dasar yang telah diperakui dan diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-122 pada 15 Januari 2020 dan Mesyuarat MAIWP Kali Ke-150 Bil. 1/2020 yang bersidang pada 18 Februari 2020 serta SOP Pengurusan Skim Bantuan Zakat MAIWP yang diluluskan dalam Mesyuarat Pengurusan MAIWP Bil. 5/2020 pada 22 Disember 2020.

“Dasar agihan ini melibatkan 30 skim dasar agihan bantuan dan termasuk Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang yang boleh dibantu melalui asnaf Fakir, Miskin dan Fisabilillah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Skim Biasiswa Baitulmal MAIWP adalah berperanan untuk meneliti dan menentukan kriteria-kriteria tertentu bagi permohonan skim Biasiswa MAIWP; menganalisa keputusan-keputusan temuduga permohonan biasiswa; memperakukan dan meluluskan permohonan-permohonan Skim Bantuan Insentif Khas Pelajar Cemerlang; dan membuat perancangan dan kajian berhubung dasar-dasar skim bantuan Biasiswa.

Abdul Syakur Zulkifli sebelum ini memperolehi keputusan 8A (7A+ bagi subjek Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran Dan Al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah) dan 1A (Bahasa Melayu) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Abdul Syakur akan menyambung pengajian di Peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Jordan dalam bidang pengajian Fiqh Wa Usuluh.—AlHijrah Online

Leave a Reply