MAIWP PERUNTUK RM2 JUTA BANTU 4,000 MUALAF

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM2 juta melalui Program Musa’adah COVID-19 untuk disalurkan kepada golongan asnaf mualaf di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, seramai 4,000 mualaf yang layak akan menerima manfaat itu dan bantuan akan disumbangkan dalam bentuk bayaran wang tunai secara one-off RM500 dan barang keperluan bernilai Rm100.

“Sumbangan kepada mualaf ini termasuk dalam Program Musa’adah COVID-19 dan usaha seperti ini akan kita kerapkan dari semasa ke semasa dengan pelbagai bentuk bantuan kepada pihak yang memerlukan,” katanya kepada media selepas majlis sumbangan MAIWP dan pejabat menteri kepada saudara baru kaum Cina, hari ini.

Pada program itu, seramai 12 mualaf terdiri daripada suri rumah, ibu tunggal, pesara dan kakitangan kerajaan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 dari MAIWP dan RM100 barangan keperluan asas dari agensi Hal Ehwal Agama.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Zulkifli berkata, sumbangan kepada mualaf Cina itu bersempena sambutan Tahun Baru Cina dan akan diperluaskan kepada golongan mualaf lain.

Beliau menegaskan golongan mualaf lain yang layak akan terus dibantu agensi berkaitan sepanjang tahun. — AlHijrah Online

Leave a Reply