MALAYSIA DI AMBANG KEJAYAAN TANGANI COVID-19

Sumber Gambar: AFP

KOTA BHARU: Malaysia berada di ambang kejayaan dalam menangani wabak COVID-19 walaupun belum diisytiharkan menang, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Oleh itu, beliau meminta rakyat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Saya tahu rakyat sudah rasa gelisah tidak mahu pakai pelitup muka, namun besar harapan saya supaya kita terus berjuang melawan COVID-19.

“Jangan alpa dan hargailah jasa pasukan barisan hadapan negara yang mula menarik nafas selepas penggunaan katil pesakit COVID-19 menurun kepada 40 peratus,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Klinik Kesihatan (Jenis 3), Penambang di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin.

Khairy mengulas, hampir keseluruhan negeri sudah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali Kelantan dan Sarawak yang masih berada di Fasa Tiga.

“Kita tidak mahu disebabkan rakyat leka susulan penurunan kes, wabak berkenaan kembali meningkat sebagaimana di Eropah,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply