Mantan pemimpin Islam Mesir meninggal ketika perbicaraan mahkamah

KAHERAH, 18 Jun – Mantan Presiden Mesir, Mohammed Morsi meninggal dunia ketika perbicaraan di mahkamah semalam.
Menurut laporan media tempatan, Morsi, 67, rebah selepas penutup sesi perbicaraan di mahkamah dan segera dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu.
Morsi adalah Presiden Mesir pertama yang dipilih secara demokratik dan hanya sempat memegang kuasa lebih setahun pada 2011 sebelum pihak tentera melakukan kudeta pada Julai 2013.
Setelah itu, organisasi yang dianggotai beliau, Ikhwanul Muslimin telah diharamkan di Mesir.
Pada 2018, tiga ahli Parlimen British memberitahu, bahawa Morsi dikurung bersendirian selama 23 jam sehari, dan hanya dibenarkan bersenam selama satu jam.
Menurut mereka, cara Morsi dikurung boleh diklasifikasikan sebagai penyeksaan yang juga boleh menyebabkan kematian.
Morsi yang mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis dan penyakit hati serta buah pinggang dilaporkan tidak menerima rawatan perubatan yang diperlukan.
Pemimpin Islam itu hidup dalam penjara selepas digulingkan dan berdepan beberapa pendakwaan termasuk dituduh sebagai pengintip untuk Iran, Qatar dan kumpulan militan seperti Hamas di Semenanjung Gaza. Beliau juga didakwa di bawah akta pengganas.
Dalam pada itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang menyokong kuat beliau semasa Allahyarham mengetuai Mesir, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Morsi dan menggelarnya sebagai seorang syahid.