MASJID DAN SURAU AKAN DIBUKA KEPADA WARGA ASING BILA KEADAAN STABIL – ZULKIFLI

KUALA LUMPUR: Kebenaran solat jemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau akan diberikan kepada warga asing apabila penularan COVID-19 di negara ini semakin stabil selain memastikan tahap kepatuhan jemaah terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, atas faktor itu pembukaan masjid dan surau dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan rakyat tempatan.

“Kita mengambil beberapa langkah. Langkah yg pertama, kita cuba memastikan dahulu supaya warga negara Malaysia yang hendak solat jemaah terutamanya dapat laksanakan solat Jumaat.

“Langkah kedua, kita benarkan dalam skala yang lebih besar dan langkah ketiga kita hadkan kepada satu pertiga kapasiti masjid dan surau diikuti langkah keempat kita lebarkan lagi (ruang solat) berdasarkan penjarakan sosial oleh kerana ramai orang,” kata Zulkifli ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah COVID- 19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling.

Zulkifli berkata berdasarkan langkah-langkah yang telah dilaksanakan pihaknya melakukan kajian untuk mencari kelemahan dan kekurangan sebelum membuat sebarang keputusan untuk menambah jumlah jemaah termasuk melibatkan warga asing.

“Apabila keadaaan sudah stabil dan kita fahami dengan sebaiknya, Insya-Allah selepas daripada ini kita akan tengok pula dengan warga asing.

“Suka saya nyatakan, mereka ini boleh sembahyang Zohor di tempat masing-masing walaupun hari Jumaat kerana inilah ganti bagi solat Jumaat yang tidak dapat dihadiri,” katanya.

Menurut Zulkifli setakat ini dasar yang ditetapkan kerajaan termasuk kebenaran solat jemaah dan Jumat dibuat dengan cermat bagi mengekang penularan COVID-19. – AlHijrah Online

Leave a Reply