
IPOH: Operasi kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai diarah tutup sementara susulan insiden seorang pekerja maut selepas lori dipandunya dihempap bongkah batu, Isnin lalu.
Exco Sumber Manusia Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak telah mengeluarkan notis larangan dan surat arahan kepada syarikat berkenaan bagi membolehkan tindakan penambahbaikan dilaksanakan.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah seksyen 17 dan 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. JKKP memandang serius setiap kemalangan yang melibatkan pekerja mahupun orang awam.
“Majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya, menjalankan pentafsiran risiko, serta melaksanakan langkah kawalan yang berkesan bagi memastikan keselamatan, kesihatan, dan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara,” katanya.
Datuk Sivanesan ketika meninjau lokasi kejadian pagi tadi berkata, operasi kuari itu hanya akan dirujuk semula selepas laporan jurutera perunding diterima bagi menilai langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.
Pada Isnin lalu sekitar jam 4.40 petang, mangsa M. Sivakumar, 53 dihempap bongkah batu besar ketika sedang menunggu untuk memasuki kawasan kuari.
Bongkah itu dipercayai bergerak turun dari kawasan bukit sebelum menimpa kepala lori yang dipandu mangsa.

Mangsa tersepit di dalam kabin lori dan disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan kira-kira jam 5.50 petang.
Dalam pada itu, mangsa disahkan sebagai pencarum aktif PERKESO dan layak menerima faedah di bawah Akta 4. —AlHijrah Online