Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MCMC, PDRM SEDANG KENAL PASTI INDIVIDU MENGAKU PAKAR BEDAH KES ZARA QAIRINA – FAHMI

DALAM NEGARA

MCMC, PDRM SEDANG KENAL PASTI INDIVIDU MENGAKU PAKAR BEDAH KES ZARA QAIRINA – FAHMI

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah terlibat dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathi

Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah terlibat dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata individu berkenaan mendakwa dirinya hadir pada proses bedah siasat jenazah pelajar itu pada 10 Ogos lepas, namun semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM.

“Individu itu telah menyebarkan pelbagai maklumat tidak sahih dalam siaran langsung TikTok, sehingga memberi gambaran seolah-olah perkara yang diungkapkan benar-benar berlaku dan malangnya kandungan siaran itu telah tular dan menimbulkan kekeliruan awam,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.

Fahmi berkata perkara itu telah disahkan sendiri oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melalui laporan rasmi yang diterima daripada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Nor Azimi Yunus yang mendapat maklumat sahih daripada pakar forensik terlibat dalam kes tersebut.

“Ketua pasukan forensik dalam kes ini, telah memaklumkan bahawa individu berkenaan bukan pakar forensik dan segala maklumat yang disebarkan adalah palsu. 

“Akaun TikTok individu itu juga telah ditukar kepada tetapan peribadi, menyukarkan pihak berkuasa untuk berinteraksi dengannya,” katanya.

Fahmi mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang dakwaan melalui media sosial, terutamanya yang melibatkan identiti tidak disahkan.

Beliau berkata penyebaran maklumat palsu adalah satu kesalahan serius dan sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai selepas dimasukkan ke hospital, setelah dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada 4 pagi, 16 Julai.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading