MEDIA PENCETUS SOSIO-BUDAYA NORMA BAHARU ACUAN ISLAM

Merungkai era pandemik COVID-19 pada masa kini memberi satu petanda serius terhadap rangsangan kebangkitan sosio-budaya norma baharu dalam sistem peradaban di negara ini.

Anjakan paradigma terhadap sosio-budaya norma baharu ini mengubah amalan sosial yang selama ini menyantuni masyarakat kita.

Dari amalan bersalaman, hal-hal kekeluargaan sehinggalah budaya interaksi komunikasi umum sesama anggota masyarakat telah banyak berubah mengikut fenomena persekitaran sekarang.

Begitu juga banyak kaedah amalan dalam sistem peradaban hari ini telah mengubah persepsi masyarakat terhadap kebebasan bersuara dan keadilan diri.

Hal ini berlaku disebabkan oleh pengaruh kandungan maklumat tanpa sempadan yang dinikmati pengguna Internet hari ini membolehkan mereka mengakses pelbagai maklumat mengikut keperluan dan citarasa mereka.

Bersangkutan dengan hal ini, kita harus menilai kembali peranan dan tanggungjawab media dalam menyalurkan dan menyediakan maklumat kepada masyarakat.

Peranan dan tanggungjawab media dalam pembentukan sosio-budaya pemikiran dan peradaban masyarakat hari ini merupakan suatu cabaran yang besar.

Ia merupakan wadah penyampaian maklumat yang berpengaruh dalam era teknologi yang berupaya menghidangkan pelbagai kandungan maklumat melewati batas sempadan pemikiran manusia.

Dalam konteks Islam, kebebasan maklumat yang dinikmati pengguna Internet tidak harus dimanipulasi sewenang-wenangnya tanpa batasan peradaban Islam yang kita amalkan.

Justeru itu, maklumat media Islam haruslah berdasarkan falsafah Islam sebagai Ad-Din dalam keseluruhan kehidupan masyarakat yang memapar dan mempromosikan sistem peradaban Islam menerusi kemurnian dan keluruhan adab tingkah laku masyarakat berlandaskan ajaran Al Quran dan Hadith.

Seharusnya juga maklumat siber ini tidak menimbulkan fitnah, tidak menyebarkan maklumat palsu atau apa sahaja agenda yang boleh menimbulkan konflik Tauhid umat Islam serta tidak mendatangkan kesan buruk kepada pemikiran dan perlakuan umat Islam hari ini.

Dalam erti kata lain, pemilihan atau kawal selia kandungan maklumat media harus berasaskan kepada sifat tanggungjawab terhadap pengamalan ajaran Islam dan tidak semata-mata bersandarkan kepada teori-teori atau konsep pemikiran orientalis barat.

Penyebaran maklumat juga harus menjurus kepada mendidik kematangan masyarakat Islam menguruskan kehidupan di dunia dan menghindari daripada isu-isu yang boleh melumpuhkan akidah umat Islam seperti pengamalan athies, LGBT dan sebagainya.

Penggunaan teknologi digital harus disesuaikan dengan amalan dan etika komunikasi serta mampu untuk melahirkan masyarakat Islam bertamadun tinggi dan madani.

Dalam erti kata lain,kandungan maklumat media boleh membantu menyasarkan pembentukan minda umat Islam yang prihatin dan menghayati falsafah perjuangan Islam yang sebenar dan berupaya mencipta anjakan pradigma baru terhadap pemikiran dan tindak-tanduk umat Islam menghadapi semua bentuk cabaran mendatang dengan lebih menyakinkan.

Penggunaan teknologi media hari ini harus berimbang daripada aspek keperluan dunia dan akhirat, iaitu berupaya untuk membentuk keperibadian dan pemikiran umat Islam yang bijak menjalinkan komunikasi strategik berasaskan kepada pembangunan agama Islam itu sendiri, memburu kemajuan dan pemodenan sosio budaya Islam tetapi tidak menyingkirkan atau memesongkan aspek-aspek akidah akibat lambakan maklumat dari budaya ‘kuning’ yang boleh mengancam umat Islam;

Media juga harus melaporkan dan memelihara etika pemberitaan kewartawanan berasaskan kejujuran, adil dan tidak berat sebelah supaya masyarakat memperoleh berita yang sahih, diyakini dan dapat membantu sosio-budaya umat Islam di negara ini;

Para pengamal media memiliki suatu tanggungjawab besar untuk perkemas kinikan aspek perundangan media dengan memberi keutamaan kepada Islam sebagai agama rasmi di negara ini seperti tertera dalam perkara 3(1) dalam Perlembagaan Persekutuan. — AlHijrah Online

Penulis adalah pensyarah kanan yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply