MERCY MALAYSIA SALUR RM500,000 KEPADA PALESTIN

Peruntukan setengah juta Ringgit disalurkan MERCY Malaysia ke Gaza menerusi Program Tindakan Bantuan Kecemasannya.

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM500,000 disalurkan ke Gaza dan Tebing Barat oleh MERCY Malaysia melalui Program Tindakan Bantuan Kecemasannya yang diusahakan bersama rakan-rakan strategik di sana.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, nilai berkenaan merangkumi bantuan kecemasan dan perubatan kepada penduduk di kedua-dua wilayah yang terkesan.

“Antara bantuan kecemasan fasa pertama terbabit adalah bantuan ubatan-ubatan serta alat-alat kesihatan dan pembedahan (termasuk rawatan rapi).”

Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus
Presiden MERCY Malaysia

Jelas Datuk Dr Ahmad Faizal, bantuan itu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Palestin yang akan mengagihkannya kepada 33 hospital di Gaza yang terjejas. Manakala penghantaran kedua bantuan masih dalam perjalanan dan terpaksa melalui siri sekatan di sempadan Rafah (pintu masuk Gaza).

Bantuan dan agihan berbentuk pek makanan turut disalurkan.

MERCY Malaysia juga mula mengagihkan bantuan makanan dan perkakasan isi rumah kepada 100 keluarga (daripada 1,200 keluarga) selain peralatan dapur, bantal, selimut dan mesin basuh kepada 50 keluarga lain.

“Penerima manfaat adalah antara 72,000 keluarga terkesan akibat serangan rejim Israel.”

Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus
Presiden MERCY Malaysia

Antara bantuan lain yang sedang dijalankan melalui fasa pertama bantuan ke Palestin adalah menyediakan tempat tinggal sementara (emergency shelter) di Gaza dan Timur Baitulmaqdis; meneruskan program bekalan air bersih dan program bantuan psikososial, khususnya kepada mangsa perang yang trauma.

Sementara itu Datuk Dr Ahmad Faizal menyifatkan gencatan senjata di Gaza yang dicapai antara beberapa pihak di Palestin dan Israel hari ini sebagai perkembangan positif yang akan membuka laluan bantuan kemanusiaan ke wilayah konflik itu.

Ia juga mampu meredakan ketegangan di rantau Asia Barat serta mengelakkan lebih ramai lagi orang awam terkorban di wilayah konflik terbabit. -Alhijrah Online

Leave a Reply