Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MESIR NAFI DAKWAAN PINDAHKAN SEMENTARA 500,000 PENDUDUK GAZA KE SINAI

DUNIA

MESIR NAFI DAKWAAN PINDAHKAN SEMENTARA 500,000 PENDUDUK GAZA KE SINAI

Mesir menafikan dakwaan yang disebarkan oleh beberapa media yang negara itu bersedia untuk memindahkan sementara 500,000 penduduk Gaza ke sebuah bandar raya yang ditetapkan di utara Sinai sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan semula Gaza.

Gambar FAIL

KAHERAH: Mesir menafikan dakwaan yang disebarkan oleh beberapa media yang negara itu bersedia untuk memindahkan sementara 500,000 penduduk Gaza ke sebuah bandar raya yang ditetapkan di utara Sinai sebagai sebahagian daripada usaha pembinaan semula Gaza, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir (SIS) dalam satu kenyataan pada Jumaat menegaskan yang dakwaan itu tidak berasas dan bercanggah sepenuhnya dengan pendirian tegas serta prinsip Mesir yang dinyatakan sejak awal pendudukan ke atas Gaza pada Oktober 2023.

“Mesir secara tegas dan muktamad menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa atau sukarela ke mana-mana lokasi di luar Gaza, terutamanya ke wilayah Mesir, kerana ia akan membawa kepada penghapusan perjuangan Palestin dan mengancam keselamatan negara Mesir,” menurut SIS.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa pendirian jelas dan berterusan Mesir menjadi asas kepada rancangan yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab di Kaherah baru-baru ini bagi pembinaan semula Gaza.

Menurut kenyataan itu, rancangan yang dicadangkan Mesir untuk menyokong pembinaan semula Gaza tanpa memindahkan walau seorang rakyat Palestin dari wilayah mereka diterima sebulat suara oleh sidang kemuncak itu. —AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading