MOHAMAD SABU TERIMA ANUGERAH DARI MUFTI BESAR RUSIA

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Mohamad Sabu dianugerahkan ‘Medal of Spiritual Unity’ oleh Mufti Besar Rusia, Ravil Gaynutdin.

Anugerah tersebut disampaikan Ravil yang juga Pengerusi Muslim Spiritual Board Persekutuan Rusia, di Masjid Grand Cathedral, Moscow.

“Anugerah tersebut atas usaha meningkatkan perpaduan ummah sekaligus memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Rusia dalam pelbagai bidang terutama di dalam bidang pertanian, keterjaminan makanan dan potensi kerjasama industri halal,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Mohamad mengetuai delegasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi lawatan kerja ke Rusia bermula pada 15 hingga 23 Mei 2023.

Lawatan kerja ke itu selaras dengan penyertaan Mohamad dan delegasi Malaysia ke 14th International Economic Forum “Russia-Islamic World: KazanForum” 2023.

KazanForum merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan Rusia melalui Kerajaan Republik Tatarstan sejak tahun 2009 sebagai platform bagi memperkukuhkan kerjasama antara Rusia dengan negara-negara Islam.

“Antara program utama di bawah KazanForum 2023 ialah Ekspo Halal Rusia 2023 yang melibatkan pameran dan promosi produk makanan halal di Rusia.

“Melalui ekspo ini, Malaysia boleh meneroka potensi dan peluang mempromosikan buah-buahan tropika yang sedia dieksport serta memperkenalkan produk makanan halal bukan sahaja kepada Rusia malah kepada negara-negara OIC yang turut menyertai KazanForum 2023,” katanya.

Dalam program itu, Mohamad dijadualkan akan menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat Malaysia dan Rusia bagi memberikan gambaran dan menyatakan wawasan sektor pertanian dan keterjaminan makanan Malaysia.

Mohamad juga akan menyampaikan ucaptama pada sesi plenari forum tersebut dengan tema Teras Ekonomi: Kerjasama antara Rusia dan negara-negara OIC.

“Dalam rangka lawatan kerja ini, Mohamad dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau iaitu Dmitry N. Patrushev, Menteri Pertanian Rusia di Moscow dan juga mesyuarat dua hala dengan Marat Zyabbarov Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan di Kazan.

“Ia bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dan Rusia dengan mengutamakan akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Rusia,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply