MORATORIUM, I-SINAR, DISKAUN ELEKTRIK DIJANGKA DIUMUMKAN KERAJAAN DALAM MASA TERDEKAT

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka mengumumkan bantuan melibatkan pemberian moratorium dan i-Sinar bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19, dalam masa terdekat.
Beliau memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
“Isu moratorium dan i-Sinar. Saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan agensi-agensi berkaitan.
“Kerajaan mendengar suara rakyat dan bantuan yang wajar akan diumumkan dalam masa terdekat, insya-Allah,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut memberi bayangan akan ada pengumuman bantuan diskaun Tenaga Nasional.
“Saya ditanya pelbagai pihak. Kerajaan memahaminya. Oleh itu, kepada semua, rebat ICPT (Pelepasan Kos Tidak Seimbang) dan diskaun elektrik akan diumum sedikit masa lagi,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook Shamsul Anuar Nasarah.
Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin memaklumkan bawah kerajaan dijangka mengumumkan satu lagi pakej bantuan ekonomi dalam masa terdekat.
“Selain pengumuman Pelan Pemulihan Negara, saya percaya Perdana Menteri akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai pakej bantuan ekonomi yang besar, ia tidak lama lagi.” katanya.–AlHijrah Online