#MUSAADAHCOVID19 RINGANKAN BEBAN ASNAF, PETUGAS HADAPAN

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan situasi semasa COVID-19, Kerajaan menggerakkan misi #MusaadahCOVID19 bagi meringankan beban asnaf dan petugas hadapan COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata agensi-agensi di bawah beliau telah memulakan misi #MusaadahCOVID19 di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan negeri- negeri lain yang dikenal pasti.

Katanya, Bantuan Kewangan Bulanan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang biasanya disalurkan pada setiap 25 haribulan dimasukkan ke akaun bank penerima secara berperingkat bermula hari ini.

“Ia melibatkan jumlah keseluruhan RM8.94 juta kepada 22,000 asnaf. Ini bertujuan meringankan beban asnaf khususnya untuk mendapatkan barangan keperluan asasi dalam situasi semasa,” kata Zulkifli dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama Datuk Ali Jawahar Ali dari Restoran Ali Maju telah menyumbangkan makanan kepada petugas hadapan (frontliner) COVID-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur tengah hari ini.

“Misi #MusaadahCOVID19 akan diteruskan sehingga minggu hadapan dan saya akan pastikan semua sumbangan sampai kepada sasaran dikehendaki,” kata menteri hal ehwal agama itu.

Zulkifli juga menyeru dan menggesa badan-badan korporat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) masing-masing untuk turut menyumbang kepada rakyat yang memerlukan bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan itu. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply