NEGERI SEMBILAN BUKA PERMOHONAN PERANTI PERCUMA MUDAHKAN PDPR

Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil inisiatif memberi peranti percuma kepada pelajar yang memerlukan bagi memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, permohonan peranti percuma boleh dilakukan di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Penyelaras DUN akan memproses serta menilai sebelum membuat pemilihan untuk pelajar-pelajar yang berjaya.

“Keutamaan akan diberi kepada pelajar daripada golongan keluarga berpendapatan rendah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) diikuti pelajar Tingkatan Enam, Lima dan ke bawah,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau.

Mengulas lanjut, bagi keluarga yang mempunyai lima orang anak bersekolah, mereka hanya dibenarkan memiliki satu unit sahaja.

Ianya bagi membolehkan lebih ramai keluarga yang dapat menerima manfaat kemudahan alat peranti yang disediakan itu.

“Kerajaan negeri memperuntukkan 100 unit peranti bagi setiap Pusat Khidmat Rakyat di 36 DUN.

“Inisiatif kerajaan Negeri Sembilan untuk membantu pelajar dalam kaedah pembelajaran PdPR adalah di atas keinsafan bahawa ramai pelajar tidak mempunyai kemudahan peranti untuk mereka belajar secara sempurna dalam suasana pandemik COVID-19 ketika ini,” katanya.

Mohamad Rafie berkata kerajaan negeri akan terus berusaha untuk membantu generasi pelajar kerana pendidikan adalah pelaburan kritikal untuk masa hadapan negara.—AlHijrah Online

Leave a Reply