NIGERIA: 800 PETUGAS KESIHATAN DIJANGKITI COVID-19

ANKARA: Lebih 800 pekerja kesihatan di Nigeria dijangkiti koronavirus sejak kes pertama dikesan di negara itu Februari lalu, lapor media tempatan semalam.

“Kita ada 812 pekerja kesihatan dijangkiti dan mereka bukan hanya angka, 29 darinya bekerja untuk NCDC. Mereka adalah individu yang saya kenal, mereka ada keluarga, isteri dan anak-anak,” kata Pengarah Pusat Kawalan Penyakit Nigeria, Chikwe Lhekweazu dipetik agensi berita Anadolu.

Lapan daripada mereka dirawat di Pusat Rawatan Idu, kata Lhekweazu pada taklimat harian COVID-19 di Abuja.

Persatuan Doktor Residen Nigeria sebelum ini mengugut untuk mengadakan mogok jika kerajaan gagal memenuhi tuntutan mereka dalam masa 14 hari, termasuk membabitkan isu keperluan alat perlindungan diri (PPE).

Nigeria mencatat 10,819 kes COVID-19 dengan 314 kematian dan 3,240 kes sembuh. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply