NOOR HISHAM DIANGKAT TOKOH MAAL HIJRAH 1442H

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M.

Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa pula diberikan kepada Syeikh Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Prof. Dr. Ahmad Tayyib.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengumumkan penganugerahan itu memaklumkan pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringkat nasional dan global.

Anugerah tersebut disampaikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong AI-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AI-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sambutan itu juga dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. — AlHijrah Online

Leave a Reply