‘RABBANI’ ZAHIR IKTIBAR JANGAN TAKUT BERBUAT KEBAIKAN

KUALA LUMPUR: “Kita duduk Malaysia ma sama-sama, you tolong saya, saya tolong you..”

Demikian ungkapan pertama lelaki berbangsa Cina dalam filem pendek berjudul Rabbani terbitan TV Alhijrah yang memberi gambaran jelas kisah dan teladan yang ingin disampaikan kepada penonton tentang kemakmuran rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Filem pendek berdurasi kira-kira tiga minit itu mencerita mengenai watak utamanya bernama Rabbani yang ditimpa ujian kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Sifat pemurah rakyat negara ini yang tidak kira agama dan bangsa untuk mengurangkan beban dan ujian yang dihadapi Rabbani turut ditonjolkan dalam filem pendek tersebut.

Malah kemuliaan hati Rabbani yang diceritakan dalam filem pendek ini membantu orang lain dalam kesusahan di sebalik ujian yang dihadapinya menjadi bukti kepercayaannya terhadap rezeki dan ketaatannya kepada Allah SWT.

Menurut penulis skrip Rabbani, Nurli Nasuha Adzman, filem pendek itu turut menceritakan kebaikan watak utamanya seperti yang dituntut agama Islam pada masa sama menzahirkan realiti sebenar keharmonian rakyat di negara ini.

“Apabila menulis skrip ini apa yang hendak saya sampaikan ialah kita satu Malaysia dan dalam negara ini kita sebenarnya harmoni antara berbilang kaum dan agama.

“Selain itu penerbitan Rabbani juga selari dengan tema Ma’al Hijrah tahun ini iaitu Ummah Rabbani Negara Harmoni,” katanya.

Filem pendek Rabbani turut mendapat penghargaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri apabila beliau memuat naik filem itu di laman Facebook rasminya dan mendapat pelbagai reaksi positif pengikut laman sosialnya. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply