PAKAR PERUBATAN KECEMASAN DIMASUKKAN KE ICU AKIBAT COVID-19

KUALA LUMPUR: Seorang pakar perubatan kecemasan dari sebuah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Perak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas dijangkiti wabak COVID-19.

Pakar perubatan itu adalah petugas kesihatan KKM kedua yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di sini hari ini.

“Sehingga jam 12 pm 20 Mac 2020, terdapat 45 kes COVID-19 di negeri Perak. Ini termasuk dua pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

“Salah seorang pesakit ICU tersebut merupakan seorang Pakar Perubatan Perubatan Kecemasan (Emergency Medicine Physician) daripada sebuah hospital KKM di Perak.

Beliau merupakan staf kesihatan KKM kedua yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU,” katanya dalam posting terkini di Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seorang lagi pesakit berusia 63 tahun merupakan peserta perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

“Kedua-dua pesakit kini berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil. Tiada kematian seperti mana yang ditularkan di media sosial,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan memberi jaminan bahawa petugas kesihatan KKM seluruh negara sedang berusaha sebaik mungkin dalam memberi rawatan kepada pesakit-pesakit COVID-19 serta mengesan kes-kes baharu.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar petugas kesihatan dilindungi daripada sebarang malapetaka dan diberikan kesihatan serta kekuatan menghadapi krisis ini.

“Anda semua boleh membantu kami dengan duduk di rumah, sentiasa menjaga kebersihan diri dan beri kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan dan pihak keselamatan. Jujurlah apabila diminta maklumat,” katanya menegaskan orang ramai boleh membantu dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan duduk di rumah.

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu hingga 31 Mac depan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang setakat ini semalam mengorbankan tiga nyawa dan menjangkiti lebih 1,000 kes di Malaysia. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply