PAKAR UNDANG-UNDANG: KERASKAN HUKUMAN AGAR LAMBANG NEGARA TIDAK DIPERLEKEH

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlu dilaksanakan agar lambang negara tidak terus diperlekeh oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, penambahbaikan undang-undang sedia ada berkaitan lambang negara perlu dibuat supaya hukumannya lebih setimpal dan relevan dengan keadaan semasa.

“Kalau hukuman denda seperti RM1,000 agak rendah. Undang-undang tu dibuat pada tahun 60-an. Kita sekarang ni dah tahun 2020.

“Perlulah agensi terlibat tingkatkan hukuman. Mungkin agak kasar untuk kita katakan pemenjaraan itu penting untuk mendatangkan pendidikan kepada mereka yg menghina rukun negara atau jata negara atau apa-apa simbol negara,” katanya.

Dr Shamrahayu berkata berdasarkan Akta 414 iaitu Akta Lambang dan Nama 1963, kesalahan menggunakan nama dan lambang kerajaan dengan tidak wajar hanya memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000.

Katanya tindakan oleh agensi berkaitan terutama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri perlu diselaras dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan simbol negara.

“Penguatkuasaan tu kita ucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri yang menyatakan dengan tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil.

“Tapi apabila kita melihat tindakan undang-undang itu diambil, undang-undang itu sendiri berkesan atau tidak? Sebab hukumannya agak ringan,” katanya.

Tambahnya, simbol negara merupakan lambang kedaulatan sesebuah negara yang perlu dipertahankan dan penggunaanya secara tidak wajar boleh menyebabkan isu perkauman yang lebih besar.

Katanya, kejahilan tentang undang-undang bukan alasan kepada mana-mana individu untuk menghina lambang kerajaan dan penggunaannya oleh orang awam perlu mendapatkan kebenaran daripada kerajaan bagi sebarang tujuan.– AlHijrah Online.

Leave a Reply