PASANGAN KEKASIH CURI EMAS DIPENJARA ENAM BULAN

KUALA PILAH: Sepasang kekasih dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini atas tuduhan mencuri emas.

Tertuduh Muhammad Effendi Sanusi Gunarto, 24 dan Nur Sabrina Khairul, 22 dijatuhkan hukuman tersebut oleh Majistret Saiful Sayoti selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, pasangan kekasih tersebut mencuri seutas gelang tangan emas jenis Dunhill seberat 36.76 gram di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah, pada 8 April lepas, kira-kira jam 3.45 petang.

Tertuduh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali yang kedua atau kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat, jika disabit salah.

Sebelum ini, AlHijrah Online melaporkan seorang wanita melarikan seutas gelang emas bernilai anggaran RM10,000 dalam kejadian di sebuah kedai emas di Pekan Kuala Pilah, Kuala Pilah.

Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di laman sosial.

Difahamkan wanita itu telah dibantu oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah tanpa nombor pendaftaran untuk melarikan diri selepas kejadian terbabit.—AlHijrah Online

Leave a Reply