SHAH ALAM: Polis hari ini mengesahkan kejadian seorang pelajar lelaki tingkatan tiga dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama di sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekelilingnya.
“Polis kini sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan individu yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, sebarang spekulasi berhubung punca kejadian termasuk dakwaan wujudnya unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan.
Dalam pada itu, polis menyeru agar orang ramai tidak membuat andaian yang boleh menganggu proses siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa.
“Polis Selangor komited untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang pelajar tingkatan tiga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di Sabak Bernam.
Dikatakan keputusan imbasan CT scan mendapati mangsa mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.—AlHijrah Online
Pingback: PELAJAR JATUH TINGKAT TIGA ASRAMA: PENGETUA, PENOLONG KANAN HEM, WARDEN SEKOLAH DIPINDAHKAN SEMENTARA – ALHIJRAH ONLINE