MALAYSIA SIFATKAN PELAN DAMAI TRUMP BERAT SEBELAH, TAK LAYAK DITERIMA
KUALA LUMPUR: Malaysia menyifatkan pelan damai timur tengah diumumkan Presiden Amerika (AS), Donald Trump pada Selasa lalu, berat sebelah dan hanya menguntungkan Israel.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini berkata, selepas meneliti pelan damai yang dipanggil “Perjanjian Abad Ini”, Malaysia mendapati cadangan pelan damai itu, langsung tidak layak untuk diterima.
Kenyataan itu berkata Malaysia juga percaya rakyat Palestin mempunyai hak untuk menolaknya.
“Palestin, pihak yang terkilan sejak sekian lamanya tertakluk kepada penjajahan haram Israel, langsung tidak terlibat atau diajak berunding dalam merumuskan cadangan (pelan damai) itu.
“Pelan damai itu amat berat sebelah, hanya memberi keuntungan kepada Israel ketika Palestin dan rakyatnya yang dijajah terus menjadi mangsa.
“Cadangan (pelan damai) itu jelas tidak adil kepada rakyat Palestin dan hanya mengekalkan ketidakadilan yang mereka tanggung selama ini,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri di sini.
Trump sebelum ini mengumumkan pelan damai itu di Rumah Putih yang antara lain merujuk Baitulmaqdis Timur sebagai “ibu kota Israel yang tidak dibahagikan” bertentangan dengan hasrat masyarakat dunia.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut berada di Washington ketika pengumuman itu dibuat tetapi tiada kelibat pemimpin Palestin hadir dipercayai tidak diundang ke majlis itu.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa penubuhan negara Palestin merdeka menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, satu-satunya penyelesaian konflik Israel-Palestin.
Kenyataan itu berkata Malaysia akan terus menyokong usaha konkrit dan ikhlas untuk mencari penyelesaian kekal dalam konflik Israel-Palestin berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang relevan melalui rundingan antara pihak terbabit. — AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali