TOL LEBUH RAYA KENDALIAN PLUS TURUN 18 PERATUS MULAI TENGAH MALAM INI
KUALA LUMPUR: Penurunan tol 18 peratus di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam, 1 Februari 2020 (Sabtu).
Penurunan kadar tol ini membabitkan kesemua lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).
PLUS dalam kenyataannya hari ini berkata, penurunan tol ini akan dilaksanakan bagi semua Kenderaan Penumpang (Kelas 1), Teksi (Kelas 4) dan Bas (Kelas 5) dan kekal sehingga tamat konsesi.
Kenyataan itu berkata, bayaran tol bagi lori (Kelas 2 & 3) akan kekal pada kadar sedia ada dan tidak akan dinaikkan sehingga tamat Konsesi PLUS pada 2058.
“Dengan pelaksanaan penurunan tol ini, pelanggan PLUS yang dianggarkan sebanyak 1.7 juta setiap hari berpeluang untuk menikmati penjimatan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, PLUS akan terus komited untuk memberi perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa.
“Ini termasuklah aspek operasi dan penyelenggaraan lebuhraya dan pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuhraya kendalian PLUS.
“PLUS juga akan menggiatkan usaha membantu meringankan kos hidup rakyat dan memainkan peranannya sebagai rakan negara dalam menyokong usaha kerajaan untuk terus memberi manfaat dan impak yang positif kepada rakyat,” kata kenyataan itu.
Pengumuman PLUS hari ini merujuk kepada pengumuman Kementerian Kewangan pada 23 Januari lalu berhubung pelaksanaan penurunan tol 18 peratus di lebuh raya kendaliannya. — AlHijrah Online