PELANTIKAN HAKIMAH DIHARAP PACU JAKIM DENGAN LEBIH CEMERLANG

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Hakimah Mohd Yusoff sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu diharap dapat terus memacu hala tuju JAKIM dengan lebih cemerlang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata berbekalkan pengalaman yang luas beliau yakin Hakimah dapat menggalas tugas dengan baik.

“Sekalung tahniah kepada Datuk Hakimah Mohd Yusoff yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM berkuatkuasa 21 Mac 2022.

“Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan petunjuk dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan Hakimah sebagai Ketua Pengarah JAKIM dan menjadi sejarah kepada JAKIM apabila buat pertama kali diterajui oleh wanita.

Hakimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) pada 1990 dan Ijazah Sarjana dari Universiti Putra Malaysia pada 2001.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula sebagai Penolong Pengarah di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada 1992 dan kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 2008 hingga 2009 sebelum dilantik menjadi Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM selama lima tahun antara 2011 hingga 2016.

Beliau dilantik menjadi Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM pada tahun 2016, seterusnya pada tahun 2018, kerajaan memperakukan pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.

Jawatan Ketua Pengarah Jakim kosong sejak November tahun lalu selepas Datuk Abdul Aziz Jusoh bersara wajib.– AlHijrah Online

Leave a Reply