KANGAR: Seorang anggota polis ditahan selepas sebuah kenderaan peronda dipandunya terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Persiaran Wawasan, berhampiran Mini Putrajaya, pada Isnin lepas.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam itu melibatkan anggota berkenaan yang sedang menjalankan tugas rondaan sebelum pikap polis itu bertembung dengan dua buah motosikal dari arah bertentangan di kawasan Gua Sami.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu pikap itu.
Susulan kejadian itu, Yusharifuddin berkata anggota terlibat telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Polis turut meminta orang awam yang menyaksikan kejadian tampil memberikan maklumat,” katanya.
Orang ramai turut diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, tambahnya.—AlHijrah Online