PEMANDU LORI PINDAH KAMBING DIDENDA RM5,000

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan 100 ekor kambing tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), tahun lepas.
Majistret Norlina Maludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mohamad Aizat Wan Ismail, 23, dan turut memerintahkan kesemua kambing tersebut dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan bernilai RM35,070 menjadi hasil kerajaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memindahkan 100 ekor kambing menggunakan lori jenis Izusu NPR PRO tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Wan Mohamad Aizat dituduh melakukan kesalahan itu di tepi jalan, Jalan Kemajuan, Bandar Baru di sini, pada 8.50 malam, 27 Sept tahun lepas.
Pertuduhan adalah di bawah Perenggan i(b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu, diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar dan Fazlizan Ishak Khan, manakala Wan Mohamad Aizat tidak diwakili peguam.
Terdahulu, bapa kepada seorang anak itu merayu hukuman denda minimum dikenakan terhadapnya serta memohon agar lori tersebut yang merupakan punca pendapatannya dipulangkan.–AlHijrah Online