PDRM: PEMANDU MABUK DIJEL 20 TAHUN, DENDA SEHINGGA RM150,000 RELEVAN

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Syor daripada kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk adalah memadai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya pernah mencadangkan hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap golongan pesalah jalan raya itu bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan mereka di negara ini.

“Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukannya,” katanya di Bukit Aman hari ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum ini berkata, kerajaan akan mengusulkan agar pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) seksyen 41 hingga 45 telah dipersetujui jemaah menteri pada 24 Jun lepas.

Ka Siong juga berkata, pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

Pindaan akta itu dijadualkan dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Setakat ini, 12 kematian direkodkan angkara pemandu mabuk, manakala statistik untuk lima bulan pertama tahun ini menyaksikan lebih 800 individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan di seluruh negara. – AlHijrah Online

Leave a Reply