PEMBUBARAN PARLIMEN HALANG KETIDAKHARMONIAN DALAM PENTADBIRAN KERAJAAN – PM

KUALA LUMPUR: Pembubaran Parlimen Ke-14 adalah bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan selepas 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar dengan mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

“Keputusan ini (pembubaran Parlimen Ke-14)  juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam beliau mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ismail Sabri berkata seperti yang beliau jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata demikian merujuk kepada kenyataan media Istana Negara semalam yang menyatakan Seri Paduka Baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

Selain itu beliau berkata sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan. 

“Malah tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan,” katanya. 

Beliau berkata Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

Ismail Sabri berkata kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.

Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang, kata beliau.–AlHijrah Online

Leave a Reply