PENCARI MADU CEDERA PARAH JATUH POKOK

MARANG: Seorang pencari madu lebah cedera parah selepas terjatuh dari pokok setinggi 29 meter ketika ingin mengambil madu lebah.

Mangsa Azmi Ibrahim, 29, yang mengalami kecederaan patah kedua-dua kakinya turut terjunam ke dalam cerun sedalam 15 meter akibat insiden malang itu.

Kejadian berlaku di Bukit Jejulong dekat Kampung Jejulong, Marang.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya Mohd Zaki Husin, 46, memasuki hutan di bukit berkenaan selepas waktu Asar untuk mencari madu lebah.

Azmi yang sudah lebih 15 tahun mencari madu lebah itu dikatakan tergelincir lalu terjatuh sebelum rakannya cuba membantu membawanya keluar namun tidak berjaya kerana mangsa tidak dapat bergerak.

Rakan mangsa kemudian keluar dari hutan berkenaan untuk mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung tersebut sebelum menghubungi talian kecemasan.

Sementara itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Roslan Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.20 malam sebelum bergegas ke lokasi.

Katanya, bomba berjaya sampai ke lokasi mangsa kira-kira jam 11 malam kerana mengalami kesukaran untuk mencari mangsa berikutan keadaan gelap, berbukit serta bercerun

Menurut Roslan, pihaknya mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan mangsa dengan menggunakan tali dan alat pengusung.

Mangsa kemudian di bawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. – AlHijrah Online

Leave a Reply