PENGANJUR PORT FEST 2033 MOHON MAAF BERHUBUNG INSIDEN TARIAN EKSTREM

Sumber Gambar: Media Sosial

IPOH: Tindakan segelintir penonton yang melakukan aksi ‘tarian ekstrem’ semasa konsert Port Fest 2023 di Dataran Ipoh di sini anjuran People Of Remarkable Talents (PORT) minggu lalu berada di luar kawalan pihak penganjur.

Pengurus Besar PORT Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata sehubungan itu pihaknya memohon maaf kepada semua pihak berhubung insiden itu seperti yang tular di media sosial dan menerima kritikan daripada warganet.

“Pihak penganjur dengan ini memohon maaf sekiranya adegan tarian yang sedang diviralkan tersebut telah menyentuh sensitiviti sebahagian masyarakat. 

“Kaedah untuk penganjuran konsert seterusnya sedang dikaji agar peristiwa sebegini dapat dielakkan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nur Hanim berkata aksi “tarian ekstrem” itu berlaku semasa sebuah kumpulan iaitu ‘UBS Band’ mengadakan persembahan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit dan enam saat memaparkan aksi tarian oleh sekumpulan penonton remaja lelaki dan perempuan yang dilihat kurang sopan.

Sementara itu, Nur Hanim berkata PORT Fest 2023 yang berlangsung dua hari pada hujung minggu lalu merupakan sebuah festival untuk mengetengahkan pelbagai sisi seni kreatif dan budaya. 

Beliau berkata tujuan utama penganjurannya adalah untuk memberi pendedahan serta peluang perniagaan kepada lebih daripada 300 orang penggiat seni di sekitar Perak.

“Program PORT Fest 2023 berjaya menarik sekitar 20,000 pengunjung dan menjana manfaat kewangan sebanyak kira-kira RM450,000 menerusi jualan makanan, minuman dan produk seni kreatif, acara persembahan, pameran dan pertandingan, dan juga penyewaan penginapan,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply