PENGAWAL KESELAMATAN AADK PERDAYA LELAKI BEBASKAN TUNANG DARI PUSAT PEMULIHAN

JOHOR BAHRU: Pengawal keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk memberi wang berjumah RM5,500 bagi membantu membebaskan tunang mangsa dari sebuah pusat pemulihan dadah.

Tertuduh Maslan Atan, 59, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu mangsa lelaki berusia 28 tahun yang mendorongnya menghantar wang RM500 menerusi akaun bank miliknya.

Ia bertujuan membantu membebaskan tunang kepada lelaki itu yang berusia 25 tahun daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), di Bachok Kelantan.

Tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 11.10 malam 12 Oktober 2018, di sebuah stesen minyak di Kilometer 29 Lebuhraya Pasir Gudang, di sini.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sekali lagi menipu lelaki sama hingga mendorong mangsa menghantar wang tunai RM5,000 bagi tujuan sama, di Kafe Bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, Johor Bahru pada 10 pagi, 18 Disember 2018.

Bagi kedua-dua pertuduhan, suspek didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Ikhwan Ihsan Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Salleh Tugimin.

Sementara itu hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail membenarkan suspek diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

Mahkamah menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.—AlHijrah Online

Leave a Reply