PENJARAKAN FIZIKAL: PENGUNJUNG TELUK CEMPEDAK TIDAK BOLEH LEBIH 1,000
KUANTAN: Hanya seribu orang dibenarkan pada satu-satu masa untuk berada di Pantai Teluk Cempedak, sebuah kawasan peranginan dan pelancongan menarik di Kuantan, Pahang.

Sumber imej: Google
Perkara itu, menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali, bagaimanapun hanya terpakai pada hari minggu sahaja, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada Jumaat hingga Ahad.
Pengunjung diwajibkan mengambil kad pengunjung di tiga laluan masuk untuk ke kawasan pantai.
“Tiada had masa ditetapkan kepada setiap pengunjung, namun jika jumlah pengunjung sudah mencapai had ditetapkan, kita akan melencongkan kenderaan yang ingin masuk Teluk Cempedak ke tempat lain melainkan bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan pandu lalu restoran segera di situ.”
ACP Mohamad Noor Yusof Ali
Ketua Polis Daerah Kuantan
Mohamad Noor berkata tiga laluan masuk ke Teluk Cempedak yang dibuka untuk kemasukan pengunjung adalah melalui kawasan letak kenderaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kawasan letak kenderaan pihak swasta dan laluan antara dua restoran segera McDonalds dan KFC di situ.

Sumber imej: Google
Sebagai mana di tempat lain, pengunjung diwajibkan mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual, menjalani pemeriksaan suhu, memakai pelitup muka serta wajib menjaga penjarakan fizikal ketika berada di sekitar pantai itu.
Polis, kata Mohamad Noor akan bersama RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan ditempatkan di laluan masuk dan sekitar Teluk Cempedak untuk memantau penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP).
Sabtu lepas, pemeriksaan polis di pantai itu mendapati jumlah pengunjung mencecah hingga 2,000 orang. Ia menyebabkan pantai berkenaan sesak, sekali gus mengundang risiko berbahaya andai wujud penularan virus COVID-19.
Senario berkenaan mendorong pihaknya mengesyorkan penguatkuasaan SOP baharu kepada MPK serta kerajaan negeri Pahang, yang kemudiannya dipersetujui semua pihak. – AlHijrah Online