PENJELASAN TERHADAP AMALAN TAREKAT NAQSYABANDIAH AL-ALIYYAH

KUALA LUMPUR: Sheikh Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di Malaysia, Sheikh Lokman Shazly al-Hafiz al-Maulawi Azlanii Zaharin baru-baru ini tampil memperjelaskan berkenaan amalan Tarekat tersebut.

Sheikh Lokman berkata, Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di Malaysia adalah tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah berpandukan bimbingan dan panduan para ulama’ muktabar dalam bidang Tasawuf seperti yang telah diluluskan di bawah Enakmen Tarekat tahun 2005 Negeri Sembilan.

Jelasnya Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Sheikh Nazim al-Haqqani pernah diputuskan “bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam” oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada tahun 2000.

Namun pada tahun 2018, Jawatankuasa Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan pendaftaran Tarekat ini sebagai Tarekat yang sah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 10(2), Enakmen Tariqat Tasauwuf (Negeri Sembilan) 2005 setelah melalui proses penilaian, saringan rapi dan ketat oleh ulama.

“Tarekat ini telah dikaji semula dan dibincangkan dalam Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-117 pada tahun 2020 dan memutuskan Tarekat Naqsyabandiah alAliyyah dibenarkan untuk diamal oleh pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat,” katanya.

Berhubung video yang tular memaparkan Sheikh Baha’uddin menari bersama iringan muzik, katanya video itu dirakam pada tahun 2012 di Jerman atas jemputan komuniti saudara baharu Muslim di sana.

Rakaman tersebut berlaku dalam temasya (farah) dan bukan dalam majlis zikir Tarekat atau selawat yang kelazimannya tidak dibenarkan percampuran antara lelaki dan perempuan.

“Walau bagaimanapun, apabila video tersebut sampai kepada ayahandanya iaitu Sheikh Nazim al-Haqqani dan kekandanya Sheikh Mehmet Adil, maka ayahanda dan kekandanya telah menegur perbuatan Sheikh Baha’uddin.

“Sheikh Baha’uddin telah menginsafi kejadian tersebut. Seperti yang sedia maklum, Mursyid Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah kini adalah Sheikh Mehmet Adil, bukan Sheikh Baha’uddin,” katanya.

Berkenaan dengan zikir Huwiyyah iaitu zikir dengan lafaz Hu, Sheikh Lokman berkata ia adalah zikir yang diamalkan oleh tarekat-tarekat tasawuf muktabar dalam dunia Islam selain dari Tarekat al-Naqshabandiyyah seperti Tarekat al-Shadhiliyyah dan al-Ahmadiyyah al-Idrisiyyah.

Sementara itu berkenaan rakaman video di Pulau Besar yang tular di media sosial yang didakwa bahawa pengikut Tarekat mengambil baiʽah dari orang yang telah meninggal dunia, beliau berkata perkara tersebut bukanlah dilakukan oleh Sheikh Nazim al-Haqqani tetapi dibuat oleh anak muridnya Sheikh Adnan Kabbani.

“Walau bagaimanapun, apa yang terjadi sebenarnya bukan mengambil baiʽah tarekat dari orang yang telah meninggal dunia seperti yang ditohmahkan, kerana kalau ia adalah baiʽah tarekat, nescaya nama wali tersebut akan termaktub dalam silsilah Tarekat, dan fakta menunjukkan sebaliknya.

“Ia sebenarnya adalah tawassul, istighathah dan tabarruk dengan para wali walau setelah kewafatan mereka. Hukum ini adalah harus di dalam syariat Islam seperti yang telah dijelaskan oleh ulama-ulama muktabar dalam Mazhab al-Shafiʽi seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Nawawi dan Imam al-Ramli,” katanya.

Justeru ujarnya Jabatan Mufti Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Negeri Pahang juga telah mewartakan fatwa Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furu yang melarang menghukum bid’ah perkara-perkara perbezaan pandangan para ulama seperti masalah ini.

Tambah beliau fatwa Negeri Sembilan secara tegas menyatakan tawassul, tabarruk, berdoa dan membaca al-Quran di kubur adalah termasuk dalam perkara yang terjadi perbezaan pandangan para ulama dalam perkara furu.
Bagaimanapun beliau mengakui tingkah laku tersebut tidak sepatutnya dilakukan kerana tidak sesuai dengan adat kebiasaan setempat dan Sheikh Adnan Kabbani telah bertaubat dan meminta maaf.

Katanya Tarekat di bawah kepimpinan yang baharu oleh Sheikh Mehmet Adil memberi jaminan bahawa amalan dan upacara seumpamanya telah lama ditinggalkan.

Sementara itu berkenaan gambar bersalaman antara Sheikh Nazim al-Haqqani dan wanita, katanya perkara itu termasuk masalah yang terjadi perbezaan pandangan para ulama di antara empat mazhab.

Pun begitu Sheikh Lokman berkata, disebabkan Malaysia mengamalkan mazhab Shafie maka pada 2018 Jabatan Mufti Negeri Sembilan tidak membenarkan perkara tersebut dan pihak Tarekat komited untuk memastikan para murid menjaga adab sesuai dengan nasihat itu.

Berdasarkan kepada fakta-fakta dan hujah-hujah tersebut, katanya ajaran Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di Malaysia adalah tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Oleh itu, katanya semua pihak harus berlapang dada dan tidak membuat sebarang spekulasi tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama. – AlHijrah Online

Leave a Reply