WORLD #QURANHOUR BERTEMAKAN ‘DUNIA BERSUJUD’ 26 APRIL INI, TV ALHIJRAH PENYIAR UTAMA

KUALA LUMPUR: World #QuranHour (WQH) kali ke-7, edisi 1443H/2022 bertemakan ‘Dunia Bersujud’ anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama dan sokongan rakan Sinergi Media Malaysia akan diadakan secara langsung pada 26 April ini.

WUIF dalam kenyataan hari ini memaklumkan WQH berkenaan merupakan satu daripada tiga program yayasan itu dalam menjayakan Misi #QuranHour tahun ini.

Menurut kenyataan itu, dua lagi program misi berkenaan ialah Malaysia #QuranHour yang akan diadakan pada 30 Ogos dan World #QuranConvention pada 17 dan 18 Dis depan.

WUIF memaklumkan, tiga program tersebut dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebagai penaja, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia, Rumah Ngaji serta Sahabah Al-Quran badan kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara.

“TV AlHijrah sebagai penyiar utama mengalu-alukan semua rakan media untuk mengambil siaran langsung World #QuranHour pada hari tersebut. Diharapkan stesen TV lain seperti Astro, RTM, Media Prima dan Bernama TV turut sama menyiarkan program ini serentak pada 26 April 2022, Selasa, pukul 12 hingga 1 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Menurut WUIF, surah al-Sajdah menjadi surah pilihan pada kempen kali ini dalam usaha meningkatkan rasa kehambaan kepada Allah dan panduan penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat ‘Dunia Berbudi dan Penyayang’.

Pada tahun lepas, WQH yang diadakan secara dalam talian mencatatkan 485 bilion capaian di media sosial, 2,700 lokasi berdaftar di dalam negara dan 42 lokasi luar negara.

Orang ramai termasuk keluarga, komuniti, agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di dalam atau luar negara dijemput menyertai atau menganjurkan World #QuranHour 1443H di lokasi masing-masing dengan mendaftar di https://bit.ly/REGWQH2022. – AlHijrah Online

Leave a Reply