Perdana Menteri Britain baharu diumum 23 Julai


Jeremy Hunt (kiri) dan Boris Johnson bersaing untuk jawatan Perdana Menteri Britain.

LONDON – Perdana Menteri Britain dan pemimpin Parti Konservatif baharu menggantikan Theresa May akan diumumkan pada 23 Julai ini.

Menurut laporan AFP, bekas Setiausaha Luar, Boris Johnson yang juga calon pilihan setakat ini dilaporkan mendahului persaingan menentang pencabar tunggalnya, Jeremy Hunt yang merupakan Setiausaha Luar Britain.

Mereka berdua adalah antara 10 calon yang menawarkan diri dan dipilih oleh 313 ahli Parlimen Parti Konservatif. Kedudukan Johnson dan Hunt akan ditentukan kira-kira 160,000 ahli parti tersebut yang akan membuat keputusan akhir.

Undian pos akan mula dihantar mulai 6 hingga 8 Julai dan tarikh akhir mengembalikan undian ditetapkan pada jam 5 petang (waktu tempatan) 22 Julai ini.

“Pengumuman pemimpin Parti Konservatif yang baharu akan dibuat pada 23 Julai. Proses ini telah dipersetujui oleh kedua-dua calon,” kata kenyataan parti pemerintah itu sebagaimana dipetik AFP.

Sebaik pengganti disahkan, May dijangka bertemu Ratu Elizabeth II bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri secara rasmi, manakala pengganti beliau kemudian akan berkunjung ke Istana Buckingham bagi pengesahan lantikan.

Parti Konservatif tidak memiliki majoriti dalam Dewan Rakyat namun mentadbir menerusi pakatan dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP), Ireland Utara.

Sebelumnya, May mengumumkan peletakan jawatannya bulan lalu ekoran kegagalan mendapat sokongan Parlimen berhubung perjanjian Brexit, selain berdepan bantahan daripada ahli Parlimen Parti Konservatif sendiri dan juga DUP.

Dalam pada itu, terdapat jangkaan parti pembangkang utama, Parti Buruh akan menjalankan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri yang baharu bagi membuktikan mereka mempunyai sokongan untuk memerintah.

Semua ini perlu dilakukan menjelang 25 Julai apabila Parlimen bercuti pada musim panas atau menunggu sehingga ahli Parlimen kembali pada 3 September.

Leave a Reply