PERINGATAN KEPADA DHUYUFURRAHMAN

Kaabah di Baitul ‘Atiq, kota yang tidak pernah tidur

Musim haji tiba lagi. Setiap dari kita pasti berniat untuk ke tanah suci. Setidak-tidaknya pernah terlintas di benak, satu hari nanti kita akan berkunjung ke Mekah.

Bagi yang pernah ke sana, kerinduan itu lebih kuat. Perasaan itu membuak-buak, mahu kembali berpijak pada tanah suci. Kita mahu merasa kembali nadi kota yang tidak pernah tidur itu.

Namun, pergi bukan sekadar pergi. Perlu berbekal. Hati nurani. Fizikal mental. Semua perlu bersedia. Persiapan rapi perlu dilakukan.

Perlu diingat, kita bukan menjadi tetamu biasa. Kita bukan menjadi tetamu kepada sahabat kita. Kita bukan menjadi tetamu VIP. Kita bukan menjadi tetamu menteri. Bukan sultan, bukan raja. Kita menjadi tetamu Raja bagi sekalian raja. Kita menjadi tetamu eksklusif Allah, tetamu tuhan!

Apakah kita sedia? Apakah yang kita bakal sembahkan kepada tuan rumah?

Memetik Bayan Linnas siri 65 oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 7 perkara sebagai peringatan kepada bakal haji.

Antara nasihat dan peringatan kepada bakal haji, dhuyuf al-Rahman, ialah:
1. Taubat

Taubat, bersihkan diri dari dosa sebelum menjadi tetamu eksklusif Allah

Sebelum melangkah kaki ke Mekah, mohonlah taubat kepada-Nya, istighfar, dan mohon maaf kepada semuanya. Biarlah hati kita datang ke Kota Mekah dengan sifar dosa dan jernih serta tulus hati.
2. Belajarlah Manasik Haji

Kursus haji sebagai persediaan dhuyufurrahman mempersembahkan ibadah terbaik kepada Tuan Rumah.

Ini amat penting agar ibadat haji yang kita lakukan ‘عَلَى بَصِيرَة’ dengan penuh yakin dan ilmu. Banyak sekali ibadah dilakukan tetapi akhirnya sia-sia. Ini kerana dilakukan dalam keadaan jahil dan taqlid buta tanpa asas ilmu yang sebenar.
Cukuplah gesaan Nabi SAW dalam hadis yang sahih:
خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ
Maksudnya: Ambillah ibadat hajimu daripadaku.
Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasaie
3. Bertanyalah Kepada Yang Tahu

Tabung Haji sentiasa menjadi sebutan sebagai pengelola haji terbaik di dunia.

Ini kerana banyak kali kita berasa kita tiada ilmu ketika berada dalam situasi tertentu. Alhamdulillah, Tabung Haji dan pakej haji telah menyediakan guru yang bertauliah. Justeru, inilah peluang untuk bertanya kepada mereka. Elakkan bertanya kepada ‘guru-guru sesama sendiri’ kerana dibimbangi bercanggah dengan jawapan yang sebenarnya. Ini mengakibatkan kesusahan kepada kita.

4. Bertolak Ansur Dan Saling Memaafkan

Jutaan jemaah haji akan berkumpul.

Sama ada sesama rakan taulan atau keluarga seperti suami isteri, ibu bapa, anak-anak, semuanya berpotensi dengan risiko pergaduhan. Inilah ujian terbesar dalam melaksanakan haji secara berjemaah atau keluarga.

5. Elakkan Banyak Berdebat Dan Bercakap
Ini kerana boleh melukakan perasaan, berlaku ghibah, kata nista dan sifat-sifat yang mazmumah. Sepatutnya kita isi dengan ibadat.

6. Banyakkan Baca Al-Quran, Zikir, Solat Dan Tawaf

Basahkan bibir dengan mengingat Allah.

Dalam erti kata yang lain, gunakan peluang dan masa ketika berada di Kota Mekah dan Madinah dengan acara ibadat. Inilah kekuatan sebenar haji.

7. Sentiasalah Berniat Yang Baik Dan Perbaiki Hati
Inilah peluang untuk menjadi sebaik mungkin selepas selesai haji. Ini kerana latihan pembersihan hati atau ‘تَصْفِيَةُ القُلُوب’ akan menatijahkan ‘akhlak yang unggul’ selaras dengan kehendak Nabi SAW untuk menyempurnakan ‘مَكَارِمُ الأَخْلَاق’.

http://muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1111-bayan-linnas-siri-65-panggilan-haji-kurniakan-haji-mabrur

Leave a Reply