PEROMPAK LETUP MESIN ATM LARIKAN WANG

KLANG: Polis mempercayai satu kejadian rompakan di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru, di sini, dilakukan oleh penjenayah profesional.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati mesin pengeluaran wang automatik (ATM) itu diletupkan menggunakan sejenis gas.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati kedua-dua suspek ada kemahiran dan profesional boleh masuk premis itu sehingga memecahkan (meletupkan) mesin ATM.

“Kejadian sebegini pernah berlaku di beberapa buah tempat termasuk di Johor sebelum ini. Susulan letupan itu, kedua-dua suspek tersebut berjaya melarikan wang berjumlah RM260,000,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

S Vijaya berkata, kedua-dua suspek tersebut dianggarkan berusia antara 35 hingga 40 tahun.

Awal pagi Selasa lalu, polis menerima maklumat berkenaan kejadian pecah kedai serbaneka di Pekan Meru Klang.

Kejadian disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai kira-kira jam 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah selain pintu pada mesin ATM telah terbuka.

Suspek melarikan diri dipercayai menggunakan sebuah kenderaan disyaki kereta klon dengan nombor pendaftaran palsu.

Polis dalam usaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.—AlHijrah Online

Leave a Reply