PERSIAPAN IBADAH MENUJU ERA ENDEMIK

Sumber Gambar: AFP

Oleh: Muhammad Ammar Harith Idris

Secara asasnya, menjadi kewajipan bagi Muslim untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT tanpa mengira tempat dan masa. Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah Ta’ala dalam surah Az-Zariyat, ayat 56 yang menyebut bahawa hakikat penciptaan manusia ke dunia ini adalah untuk beribadah kepada Allah.

Walau bagaimanapun, penularan pandemik yang telah memakan masa lebih daripada setahun serba sedikit mengganggu kelaziman ibadah umat Islam di negara ini. Tambahan pula, kadar kehadiran ke masjid dan surau juga dilihat menurun susulan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak.

Mutakhir ini, pihak kerajaan menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah mengumumkan bahawa negara bakal memasuki fasa endemik menjelang Oktober depan. Menurut sumber daripada pihak kesihatan, endemik bermaksud wabak COVID-19 akan berubah menjadi suatu virus yang akan terus kekal di samping manusia. Manakala jangkitannya pula akan berlaku secara berulang kali. Justeru, ia memberikan isyarat bahawa masyarakat perlu menjalani kehidupan secara normal dengan melengkapkan suntikan vaksin serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Pada masa yang sama, peralihan ke fasa endemik ini juga akan membuka kembali pelbagai sektor untuk beroperasi. Bagi sektor sosial, pembukaan semula masjid dan surau dalam keadaan yang lebih baik sudah tentunya menggembirakan hati ramai umat Islam.

Hal ini demikian kerana, tiada lagi sebarang sebab yang munasabah untuk menghalang seseorang itu daripada menunaikan ibadah mengikut kewajipan yang sebenar. Bahkan masyarakat juga sudah membiasakan diri hidup bersama wabak ini dengan mengamalkan SOP seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan pensanitasi tangan dan seumpamanya.

Sementara dari perspektif fiqh pula, perubahan realiti semasa (al-waqi’) ketika ini secara tidak langsung menuntut perubahan aplikasi hukum syarak yang berbeza dengan suasana sebelumnya. Jika sepanjang fasa pandemik yang lalu, kebanyakan pendekatan hukum Islam adalah berasaskan kepada elemen seperti darurah dan rukhsah, namun kini ia adalah berbeza memandangkan status wabak berkenaan juga telah berubah.

Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh seperti, “al-Masyaqqah Tajlib al-Taysir” iaitu kesulitan mendorong kepada kemudahan. Pada asalnya, hukum menunaikan solat Jumaat adalah wajib dan fardu ain ke atas kaum lelaki, namun berubah keterikatannya dengan melihat beberapa kesukaran seperti ancaman penularan wabak, kawalan pergerakan dan penguatkuasaan SOP. Namun realitinya kini keadaan sudah berbeza apabila negara semakin menghampiri matlamat mewujudkan imunisasi berkelompok serta pelbagai kelonggaran semakin diberikan.

Oleh itu, asbab yang dahulunya menjadi penghalang kini semakin lenyap dari semasa ke semasa. Umat Islam tidak wajar menggunakan alasan-alasan seperti darurah, masyaqqah dan rukhsah sewenang-wenangnya untuk melepaskan diri daripada taklifan syarak. Situasi ini juga selaras dengan salah satu kaedah fiqh yang lain, “al-Amr Iza Ittasa’at Dhaqat” yang bermaksud sesuatu perkara itu jika sudah menjadi terlalu luas, maka hendaklah pula ia disempitkan. Sebagai contoh, jika sebelumnya kehadiran ke masjid dan surau amat terbatas, kini realitinya sudah berbeza kerana pintu-pintu masjid mula dibuka secara berperingkat.

Rentetan senario itu, kewajipan seperti menunaikan solat fardu Jumaat bagi kaum lelaki juga kembali terlaksana. Begitu juga dengan hukum sunat muakkad mendirikan solat berjemaah di masjid ataupun surau serta galakan untuk mengimarahkan rumah-rumah Allah. Berdasarkan firman-Nya:

Maksudnya : “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

Surah Al-Taubah (18)

Oleh itu, umat Islam wajar bersegera merebut peluang untuk beramal ibadah dengan sebaik-baiknya. Realitinya, inilah masa yang terbaik untuk kita membalas semula kerinduan dengan kembali menghidupkan rumah-rumah Allah.

Usah mengambil sikap bermudah-mudah dengan memberikan alasan seperti takut terhadap ancaman wabak, bimbang dengan jumlah kehadiran yang terlalu ramai, tiada penjarakan dan sebagainya.

Pada masa yang sama, umat Islam juga perlu menjauhi sifat al-Ithar iaitu suka mendahulukan orang lain dalam urusan ibadah. Hal ini kerana sifat berkenaan tidak disukai oleh Allah SWT selaras dengan firman-Nya yang menyuruh setiap hamba-Nya agar sentiasa bersegera dan berlumba-lumba mengerjakan kebaikan terutamanya dalam perihal ibadah. Malahan kaedah fiqh turut menyebut, “Al-Ithar fi al-Qurabi Makruh, wa fi Ghayriha Mahbub” iaitu mendahulukan orang lain dalam urusan ibadah adalah makruh, manakala pada selainnya adalah digalakkan.

Dalam konteks kemasyarakatan, setiap ketua keluarga boleh mengajak ahli keluarga masing-masing secara berperingkat untuk menghadiri program-program keagamaan di masjid seperti kuliah-kuliah agama, ceramah perdana, majlis bacaan surah Yasin, Tahlil, doa selamat dan seumpamanya. Pada masa yang sama, ia juga merupakan salah satu proses sosialiasi ibadah yang akan membentuk keperibadian keluarga serta komuniti yang mencintai agama dan kuat beribadah.

Di samping itu, para asatizah dan pendakwah perlu bersama memperingatkan masyarakat dengan membawa mereka untuk merenung kembali hadis-hadis yang menjelaskan ancaman serta akibat bagi mereka yang sengaja meninggalkan kewajipan. Antaranya sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya : Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya.

Riwayat Abu Daud (1052)

Manakala pihak-pihak yang berautoriti juga perlu menggiatkan kempen untuk merancakkan kembali aktiviti pengimarahan di masjid dan surau. Mesej-mesej yang mengajak umat Islam untuk beribadah perlu disebarkan secara meluas terutamanya menerusi platform media sosial sama ada dalam bentuk lakaran poster, infografik, video pendek dan sebagainya. Hal ini bertujuan bagi meniupkan kembali semangat dan menyuburkan kecintaan umat Islam untuk beribadah di rumah-rumah Allah.

Bagi pihak ahli jawatankuasa masjid serta surau pula, peralihan fasa ini juga menandakan keperluan untuk mengubah pendekatan dengan bersikap lebih terbuka dalam menerima kehadiran jemaah. Menjelang fasa endemik akan datang, sifat terlampau berhati-hati dibimbangi akan menjauhkan masyarakat daripada masjid. Perlu difahami bahawa mereka yang melangkahkan kaki ke masjid adalah insan yang dikurniakan hidayah oleh Allah SWT dan digerakkan hati mereka untuk ke sana. Oleh itu, para pentadbir perlu menyantuni para jemaah secara berhemah dan penuh beradab.

Sementara itu, pembudayaan norma baharu yang baik sepanjang fasa pandemik lalu masih boleh diteruskan dari semasa ke semasa. Antaranya seperti majlis bacaan al-Quran, zikir, bacaan surah Yasin dan tahlil, doa selamat secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom dan Google Meet. Hikmah PKP yang lalu mengajar kita betapa kecanggihan teknologi serba pintar ketika ini amat membantu dalam memudahkan urusan berkaitan ibadah dan mendorong ketaatan kepada Allah SWT.

Kesimpulannya, umat Islam perlu mempersiapkan diri masing-masing bagi menghadapi persekitaran baharu menjelang fasa endemik akan datang. Antaranya adalah dengan bersegera dan bersungguh-sungguh untuk beribadah terutamanya mengimarahkan kembali institusi masjid dan surau. Semoga peralihan ke fasa yang lebih baik ini akan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT.–Alhijrah Online

Penulis adalah Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply